Sunday, October 20, 2019

Teknologi dalam Pendidikan


Penggunaan teknologi dalam pendidikan pada era digital ini memainkan  peranan penting untuk keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teknologi dalam pendidikan mampu meningkatkan keberkesanan dan kualiti terhadap pengetahuan yang disampaikan oleh guru dan diterima dengan pemahaman yang mendalam oleh pelajar. Kaedah pengajaran guru menjadi lebih canggih dengan penggunaan komputer, bahan elektronik, LCD, kamera digital dan lain-lain dalam proses pengajaran dan pembelajaran.







Naim Hj. Ahmad (1990) mendefinisikan teknologi pendidikan sebagai satu perkaedahan atau pendekatan yang memadukan harmonis, fungsi-fungsi pengurusan (organisasi dan personel), pengembangan (penyelidikan, teori reka bentuk, penerbitan, penilaian, pemilihan, logistik, penggunaan dan penyebaran dan sumber (mesej, manusia, bahan, alat, teknik dan cara penyediaan secara sistematik untuk penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran manusia.






"Teknologi pendidikan ialah gabungan manusia, peralatan, teknik dan peristiwa yang bertujuan untuk memberi kesan baik kepada pendidikan ."(Cromwell (1971) : Encyclopedia of education).

Kesimpulannya, teknologi pendidikan merupakan satu sistem yang merangkumi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran.



Thursday, September 5, 2019

My Teach- Cerpen Oren






Pengenalan

Myteach merupakan salah satu kaedah pengajaran yang menggunakan filem slaid. Myteach merupakan alat bantu mengajar yang sangat menarik kerana dengan menggunakan Myteach dalam pengajaran dapat meningkatkan penyerapan maklumat kerana ia melibatkan media grafik bergambar, video dan sistem pemprosesan maklumat yang pantas dan teratur. Myteach mempunyai gambar- gambar menarik yang bergerak serta mempunyai suara. Contohnya, jika guru menggunakan Myteach untuk mengajar cerpen, gambar-gambar yang ditayangkan ialah gambar-gambar berkaitan dengan jalan cerita cerpen. Hal ini akan memudahkan pelajar untuk memahami sinopsis cerita memandangkan terdapat gambar-gambar yang berkaitan. Selain itu, terdapat juga suara yang membaca teks di setiap tayangan gambar. Hal ini menjadikan pelajar lebih tertarik dan dapat memahami pengajaran dengan baik. Selain itu, melalui tayangan teks di setiap gambar, guru dapat menerangkan maksud perkataan yang tidak difahami oleh pelajar dengan jelas. 




Saya telah menggunakan MyTeach untuk mengajar cerpen yang bertajuk Oren kepada pelajar saya di tingkatan satu. Objektif pengajaran ialah pelajar dapat mengetahui sinopsis cerpen. Selain itu pelajar juga dapat menyatakan peristiwa penting yang terdapat dalam cerpen. Pelajar juga dapat menyatakan nilai dan pengajaran yang terdapat dalam cerpen tersebut. Masa pengajaran yang diambil ialah selama 40 minit. Bilangan pelajar yang terdapat dalam kelas saya ialah seramai 49 orang pelajar. Aktiviti yang dijalankan  ialah penayangan video cerpen Oren dan sesi soal jawab iaitu di mana guru menyoal maksud perkataan yang terdapat dalam tayangan video. Selepas tayangan video, pelajar menjawab soalan-soalan berkaitan dengan sinopsis cerita, watak dan perwatakan, nilai serta pengajaran yang terdapat dalam cerpen. Di akhir pengajaran, saya dapati pelajar mampu memahami jalan cerita cerpen dengan baik. Pelajar juga dapat menyatakan perwatakan watak utama serta nilai dan pengajaran yang terdapat dalam cerpen. 





Penggunaan Myteach dalam PdPc

Pada awal pengajaran, saya telah menunjukkan gambar kucing kepada pelajar saya sebagai set induksi untuk merangsang mereka berfikir mengenai topik yang akan diajar pada hari tersebut. Memandangkan cerpen ini berkenaan seekor kucing yang bernama Oren, saya memilih gambar kucing untuk memberi idea kepada pelajar mengenai topik yang akan dipelajari.



                                         
                                                                         Set Induksi


Selepas itu saya menayangkan slide MyTeach kepada pelajar. Keistimewaan slaid MyTeach ialah selain mempunyai gambar yang menarik, MyTeach juga mempunyai audio suara dan tulisan pada setiap slide. Hal ini memudahkan saya untuk mengajar pelajar saya dan menjadikan mereka lebih tertarik untuk memberikan tumpuan ketika sesi pengajaran berlangsung.



                                              
                                             
           Contoh penggunaan MyTeach cerpen Oren yang diajar kepada                                                              pelajar tingkatan 1  
                                                    



                                                Contoh slaid powerpoint Oren


Alat bantu mengajar (ABM) yang saya gunakan semasa mengajar cerpen ini ialah buku teks, komputer, filem slaid dan projektor LCD. Semasa penayangan slaid tersebut, pelajar perlu mengaris isi penting dalam buku teks (read and highlight). Hal ini untuk memastikan pelajar mengetahui isi penting yang terdapat dalam cerita Oren. Saya juga menggunakan slaid (Myteach-Oren) yang mempunyai gambar yang besar dalam PdPc. Saya juga mempelbagaikan gaya pengajaran saya untuk menarik minat pelajar saya mengikut kecerdasan yang berbeza. Penayangan slaid dapat menarik minat pelajar saya yang mempunyai kecerdasan visual- spartial. Suara yang dikeluarkan semasa penayangan slaid dapat menarik perhatian pelajar yang memiliki kecerdasan musical- rhythmic. Tulisan yang terdapat dalam slaid pula dapat menarik minat pelajar verbal-linguistic. Hal ini selaras dengan kehendak PAK21 yang menekankan kepada pelbagai teknik pengajaran untuk menarik minat pelajar untuk belajar.




                  Pelajar mengaris isi penting yang terdapat dalam buku teks.


Selain itu, saya juga memberi penerangan kepada pelajar selepas penayangan setiap slaid. Dengan bantuan gambar yang menarik, saya dapat menjelaskan kepada pelajar perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pelajar. Hal ini memudahkan pelajar untuk memahami dan mengingati apa yang diajar. Seterusnya, saya juga ada bertanyakan maksud perkataan tertentu kepada pelajar untuk menguji penguasaan kosa kata mereka. Sehari sebelum saya mengajar topik ini kepada pelajar, saya telah memberi tugasan kepada pelajar untuk mencari maksud perkataan-perkataan tertentu supaya mereka mampu memahami apa yang diajar dengan baik.





                                Guru memberikan penerangan kepada pelajar




                                Pelajar menjawab soalan maksud perkataan

Selepas penayangan slaid tersebut, saya juga bertanyakan beberapa soalan kepada pelajar secara rawak untuk memastikan pelajar memahami apa yang diajar. Melalui pemerhatian saya, pelajar mampu menjawab setiap soalan dengan baik. Hal ini membuktikan pelajar memahami pengajaran. Pelajar juga dapat memberitahu pengajaran dan nilai murni yang terdapat dalam cerpen tersebut. Hal ini bermakna pembelajaran pada hari tersebut berjaya kerana objektif pengajaran tercapai. 




                             Pelajar ingin mencuba untuk menjawab soalan


Kelebihan
         
  • Penggunaan Myteach telah membantu saya menyalurkan maklumat kepada pelajar berkaitan dengan mata pelajaran yang  diajar dengan lebih jelas dan sistematik. 
  • Selain   itu, Myteach juga membantu pelajar saya memahami sesuatu topik dengan lebih mendalam dan realistik. Melalui gambar-gambar yang ditayangkan, saya dapat menerangkan mengenai sesuatu perkara dengan lebih jelas. Hal ini demikian kerana apabila pelajar tidak memahami tentang sesuatu perkara, saya dapat menjelaskan tentang perkara tersebut dengan bantuan gambar yang terdapat dalam tayangan slaid filem tersebut. Hal ini akan meningkatkan pemahaman dan minat pelajar untuk belajar. 
  • Dengan pembelajaran yang biasa di mana guru mengajar sambil menulis di papan putih akan mengambil masa yang lama. Kegagalan menyampaikan isi pelajaran dengan jelas menyebabkan pelajar berasa bosan, kurang bersemangat dan menganggap subjek tersebut sukar. Justeru, penggunaan slaid filem Myteach ini dapat meningkatkan kefahaman mereka tentang sesuatu topik selain dapat menjimatkan masa. Dengan ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan berkesan. Penggunaan slaid filem My Teach juga dapat membantu guru  menerangkan sesuatu perkara dan konsep isi kandungan pembelajaran dengan lebih tepat berbanding penerangan secara lisan. 

















  • Pembelajaran menggunakan slaid filem Myteach dapat mempelbagaikan bahan rujukan pelajar kerana ia boleh diaplikasikan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran seperti teks, meneliti gambar, video, visual pembelajaran dan sebagainya.
  • Selain daripada itu, penggunaan animasi, visual dan bunyi akan dapat menarik minat murid untuk mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Hal ini secara tidak langsung akan dapat membantu murid untuk mengingati apa yang dipelajari pada hari tersebut.
  • Di samping itu, adalah mudah untuk guru membuat pengulangan. Guru boleh mengulang bahagian-bahagian yang perlu diberi penekanan. Malahan dengan menggunakan bahan multimedia ini, guru bebas bergerak kemana-mana bahagian yang diperlukan. Penggunaan Myteach ini selaras dengan kehendak kerajaan yang menekankan PAK21 dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Kelemahan


  • Namun begitu, di samping kebaikan penggunaan Myteach terdapat juga kelemahannya. Pengajaran    menggunakan Myteach mengambil masa yang lama. Hal ini demikian kerana semasa tayangan dari gambar ke gambar mungkin mengambil masa beberapa minit memandangkan guru perlu menerangkan secara mendalam tentang sesuatu perkara yang diajar di samping perlu menjawab soalan yang dikemukakan oleh pelajar jika mereka mempunyai kemusykilan. Hal ini akan mengambil masa yang lama berbanding kaedah penerangan secara lisan. 
  • Selain itu, terdapat juga tayangan gambar yang kurang sesuai dengan topik yang diajar. Contohnya, semasa mengajar cerpen kepada pelajar saya yang berbangsa Cina, terdapat beberapa gambar yang ditayangkan menimbulkan kekeliruan kepada pelajar saya. Oleh sebab itu, saya perlu menerangkan perkara tersebut dengan jelas kepada mereka. 
  • Seterusnya, tedapat juga beberapa perkataan yang digunakan dalam tayangan slaid sukar difahami oleh pelajar saya yang berbangsa Cina. Hal ini menyebabkan pelajar saya sukar memahami pengajaran. Kelemahan lain ialah, jika guru membaiki saiz tulisan yang terdapat dalam video tersebut kadang-kadang tulisan yang dibaiki itu tidak dapat dibaca oleh pelajar. Hal ini akan menyukarkan guru untuk membaiki tulisan atau isi kandungan yang terdapat dalam video.




      
Penambahbaikan


  • Penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk mengatasi kelemahan dan melancarkan pengajaran guru ialah, sebelum mengajar sesuatu topik kepada pelajar menggunakan slaid filem Myteach ini, guru perlu membuat persediaan seperti mencari maksud perkataan yang sukar difahami oleh pelajar untuk memudahkan  pengajaran.
  • Selain itu, gambar-gambar yang ditayangkan juga perlu lebih sesuai dengan apa yang diajar supaya pelajar yang lemah mudah memahami apa yang diajar. Saiz tulisan juga perlu dibesarkan untuk memudahkan pelajar yang berada di bahagian paling belakang kelas dapat melihat dengan lebih jelas. Perkataan yang digunakan juga perlu lebih sesuai dengan semua tahap pelajar supaya pelajar yang lemah juga dapat memahami pengajaran dengan baik.






Kesimpulan

Secara keseluruhannya, penggunaan slaid filem Myteach sangat membantu saya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar mudah memahami pengajaran berbanding penggunaan kaedah tradisional iaitu penggunaan papan putih dan pengajaran secara lisan. Proses pembelajaran juga menjadi lebih menyeronokkan serta mampu menarik minat pelajar untuk belajar cerpen. Ketika sesi soal jawab berlangsung, ramai pelajar yang ingin menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Hal ini bermakna, pelajar mampu mengikuti proses pembelajaran dengan baik.  


Friday, August 2, 2019

Kahoot- Penjodoh Bilangan



Pengenalan


Kahoot merupakan satu aplikasi permainan yang menyeronokkan bagi pelajar. Kaedah yang digunakan ialah belajar sambil bermain. Pelajar akan menjawab beberapa soalan yang disediakan oleh guru menggunakan telefon pintar masing- masing. Guru boleh memasukkan video, gambar dan rajah dalam permainan ini. Hal ini dapat menarik minat pelajar dan penglibatan murid dalam aktiviti ini. Soalan yang ditanya akan dipaparkan di skrin utama. Kahoot menjadikan kelas menarik apabila pelajar menjawab kuiz secara online dan paparan markah terus terpapar di skrin dihadapan kelas. Pelajar juga dapat melihat kepantasan mereka dalam menjawab soalan melalui kedudukan dan masa yang ditetapkan pada skrin utama di hadapan kelas. Hal ini mewujudkan suasana persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Kahoot juga mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mendisiplinkan murid dari segi memperuntukkan masa menjawab sesuatu soalan. Penggunaan Kahoot dalam PdPc juga turut menerapkan unsur didik hibur dan dilihat sangat sesuai dilaksanakan dalam pembelajaran abad ke-21. Permainan Kahoot ini menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak membosankan.



Contoh soalan yang memaparkan gambar untuk menarik minat pelajar


Langkah-langkah Menggunakan Kahoot


  • Anda perlu ke https://kahoot.com/ untuk membina akaun terlebih dahulu. Klik ‘Sign Up’ untuk pertama kali mendaftar. 


  • Selepas itu, anda boleh mula membuat set soalan yang dikehendaki. Ketika hendak buat soalan, anda boleh menggunakan segala tools yang ada di ruangan tersebut untuk menjadikan soalan lebih kreatif dan menarik untuk dijawab. Contohnya, anda boleh masukkan teks, gambar, atau video yang berkaitan.

  • Selepas selesai mengisi maklumat asas untuk kuiz tersebut, anda boleh menambah soalan dengan klik ‘Add Question’.
  • Anda perlu isikan soalan, masa menjawab dan pilihan jawapan. Untuk menentukan jawapan yang betul, anda perlu tanda (tick) sahaja sehingga keluar warna hijau di kanan jawapan.
  • Bila semua soalan sudah siap dibina, terus simpan (save) dan data akan disimpan dalam akaun yang anda sudah daftarkan tadi. Anda boleh ulang semula untuk membuat soalan lain sebanyak mana yang anda mahu.
  • Pada hari yang anda mahu gunakan Kahoot! ini, anda boleh meminta individu yang hendak menjawab contohnya pelajar tersebut log masuk Kahoot!
  • Sebelum memulakan kuiz, anda perlu memberi Game PIN kepada individu (pelajar) yang ingin menjawab soalan tersebut.


  • Kemudian, pelajar boleh memasukkan nama sendiri kerana pada akhir kuiz nanti, markah akan dipaparkan mengikut nama-nama yang telah dimasukkan tadi. Sementara menunggu untuk habis, nama dan bilangan individu yang sudah menyertai kuiz tersebut akan terpampang di skrin utama.



Penggunaan Kahoot dalam PdPc

Saya menggunakan aplikasi Kahoot semasa membuat ulang kaji dalam kelas. Sebagai contoh, dalam video di atas, saya telah menggunakan Kahoot untuk membuat ulang kaji aspek tatabahasa iaitu penjodoh bilangan. Objektif pengajaran adalah pelajar dapat mengetahui jenis-jenis penjodoh bilangan dan dapat menggunakan penjodoh bilangan tersebut dalam situasi yang sesuai. Masa pengajaran yang diambil ialah selama 40 minit. Bilangan pelajar dalam kelas tersebut ialah seramai 49 orang. 

Aktiviti yang dijalankan ialah guru menayangkan kembali slaid powerpoint penjodoh bilangan yang telah dipelajari oleh pelajar supaya mereka dapat mengingat kembali apa yang telah dipelajari. Selepas itu, barulah pelajar menjawab soalan penjodoh bilangan menggunakan aplikasi Kahoot. Di akhir pengajaran, saya dapati pelajar mampu menjawab soalan dengan baik dan dapat menyatakan jenis penjodoh bilangan serta memberikan contoh yang sesuai. 








Pada awal pengajaran, saya telah menggunakan slaid powerpoint untuk membuat ulang kaji jenis-jenis penjodoh bilangan. Saya telah memasukkan gambar- gambar yang menarik yang berkaitan dengan tajuk. Saya juga telah memasukkan bunyi-bunyi tertentu untuk menarik minat pelajar. Namun, dari pemerhatian saya, pelajar kurang berminat untuk memberikan tumpuan. Hal ini demikian kerana, penggunaan slaid powerpoint adalah perkara biasa di sekolah saya. Jadi, pelajar tidak lagi tertarik untuk memberikan tumpuan. Hanya terdapat beberapa orang pelajar yang memberikan tumpuan sepenuhnya. 




Contoh slaid powerpoint penjodoh bilangan



Pelajar mencuba menjawab soalan


Boringnya!

Namun, selepas saya menggunakan Kahoot untuk mereka membuat ulang kaji mengenai topik yang diajar, pelajar nampaknya semakin berminat dan mula memberikan perhatian. Hal ini demikian kerana ulang kaji dijalankan dalam bentuk permainan, terdapat muzik dan menggunakan telefon pintar mereka. Mereka berasa seronok kerana tidak perlu terikat dengan slaid powerpoint yang membosankan dan juga buku teks. Gambar menarik yang ditayangkan berserta soalan kuiz sangat mengujakan mereka. Mereka berasa seronok kerana boleh menjawab soalan dengan hanya menekan warna-warna yang terpapar di skrin telefon mereka. 

Saya juga dapat memberhentikan sekejap tayangan soalan untuk memberi penjelasan kepada pelajar jika ada perkara yang tidak difahami oleh pelajar. Hal ini dapat meningkatkan pemahaman pelajar mengenai topik yang diajar. 

Selain itu, penayangan markah pelajar yang paling tinggi juga dapat memberikan semangat kepada pelajar untuk bersaing secara sihat untuk menjawab soalan. Guru juga boleh memilih untuk menggunakan kuiz yang telah dibina dan dikongsi oleh komuniti. Hal ini dapat memudahkan dan menjimatkan masa guru untuk membina soalan. 

Secara keseluruhannya, pelajar berasa sangat seronok kerana dapat menjawab soalan dalam keadaan yang santai di samping dapat berbincang dengan rakan-rakan. Penggunaan Kahoot dalam pengajaran sangat membantu guru untuk menarik minat pelajar memberikan tumpuan dan juga dapat menjadikan sesuatu pengajaran lebih menyeronokkan.




Pelajar menggunakan telefon pintar untuk menjawab soalan
  


Permainan Kahoot



Guru memberikan penerangan kepada pelajar



Markah pelajar yang paling tinggi







!Seronok


Kelebihan


  • Sangat interaktif kerana Kahoot merupakan kuiz berbentuk permainan. Hal ini demikian kerana pelajar dikehendaki menjawab soalan sama ada menggunakan PC, laptop, tablet atau telefon pintar mereka. Jadi, mereka akan terlibat secara aktif dan menjadikan permainan ini lebih menarik.
  • Kahoot juga mempunyai sistem ranking. Setiap kali selepas soalan dijawab, nama 5 pelajar yang menjawab paling pantas dan tepat akan berada di ranking paling atas. Oleh itu, pelajar akan berlumba-lumba untuk menjawab soalan dan dapat bersaing secara sihat. 
  • Kahoot juga memberi kebebasan untuk guru menetapkan bilangan soalan, bilangan jawapan (2-4 pilihan), tempoh masa menjawab, bentuk soalan sama ada dalam bentuk teks, bergambar atau video. 
  • Set soalan juga boleh disimpan dalam akaun masing-masing. Selepas selesai membuat set soalan, guru hanya perlu menyimpan soalan di akaun masing-masing untuk kegunaan pada masa hadapan. 
  • Kahoot juga boleh digunakan di mana-mana sahaja asalkan ada capaian Internet.
  • Kahoot juga pelbagai guna (Multipurpose). Kahoot bukan sahaja digunakan semasa PdPc, malahan juga dapat dijadikan set induksi, kuiz, pengukuhan, ulang kaji, perbincangan soalan peperiksaan dan lain-lain mengikut kreativiti guru.
  • Kahoot juga dapat menarik minat pelajar kerana terdapat muzik sepanjang kuiz dijalankan. Jadi, pelajar tidak akan berasa bosan.
  • Pelajar juga berasa seronok kerana boleh menjawab soalan dengan hanya menekan warna-warna yang terpapar di skrin telefon mereka.
  • Guru juga dapat memberhentikan sekejap tayangan soalan untuk memberi penjelasan kepada pelajar jika ada perkara yang tidak difahami oleh pelajar.

Kelemahan


Kelemahan yang saya dapati semasa menggunakan aplikasi Kahoot di dalam kelas ialah pelajar harus menggunakan telefon pintar dan data sendiri. Terdapat beberapa orang pelajar yang tidak mempunyai telefon pintar. Hal ini demikian kerana ibu bapa tidak membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah. Jadi semasa aktiviti ini dijalankan, pelajar terbabit tidak dapat melibatkan diri. Saya dapati pelajar yang tidak mempunyai telefon ini terpaksa berkongsi dengan rakan dan ada juga yang membuat kerja sendiri. 

Kelemahan lain ialah permainan Kahoot perlu dimainkan serentak di tempat yang sama kerana pelajar berkongsi skrin di hadapan kelas. Oleh sebab itu, guru perlu menetapkan masa yang sesuai supaya semua pelajar dapat menyertai permainan ini. Selain itu, terdapat juga pelajar yang tidak dapat log masuk ke aplikasi Kahoot. Hal ini agak mengambil masa untuk guru memulakan permainan Kahoot. 

Selain itu, pelajar di sekolah ini juga perlu menyimpan telefon di dalam kotak telefon yang terdapat dalam setiap kelas. Mereka hanya boleh mengambil telefon bimbit 10 minit sebelum kelas terakhir tamat. Oleh sebab itu, jika guru ingin menggunakan aplikasi Kahoot di dalam kelas, guru perlu meminta kebenaran pihak sekolah supaya pelajar dapat menggunakan telefon bimbit mereka di dalam kelas. Jadi, perkara ini menyukarkan guru jika guru ingin menggunakan aplikasi Kahoot secara terus. 



Loading..




Pelajar yang tidak dapat menyertai permainan Kahoot

    
Penambahbaikan  
     
Penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk mengatasi kelemahan ini ialah permainan Kahoot ini perlu di buat di makmal komputer. Jadi, semua pelajar dapat melibatkan diri dalam permainan ini. Tidak ada lagi masalah pelajar yang tidak dapat log masuk atau tidak mempunyai telefon bimbit. Jadi, semua pelajar dapat melibatkan diri dan mampu bersaing secara adil dan tidak perlu berkongsi telefon lagi. 






Secara keseluruhannya, penggunaan Kahoot sangat membantu saya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar berasa sangat seronok kerana mereka boleh belajar sambil bermain. Pelajar juga menunjukkan peningkatan dari segi pemahaman terhadap topik yang diajar. Pelajar juga memberikan kerjasama yang baik.


Markah yang diperolehi oleh pelajar 



























































       

Friday, July 12, 2019

Quizzizz- Kefahaman UEC- Kemerdekaan



Pengenalan

Quizizz merupakan satu aplikasi web yang sangat menarik untuk digunakan dalam pendidikan. Quizizz mampu menggantikan cara lama kuiz dibuat iaitu menggunakan pen dan kertas sahaja. Melalui aplikasi Quizizz, seseorang dapat mencipta kuiz baharu secara percuma sahaja atau boleh mencuba kuiz yang tersedia yang telah dicipta oleh pengguna lain Quizizz. Guru juga boleh memilih sama ada ingin menjadikan kuiz tersebut sebagai kerja rumah atau dibuat secara langsung di dalam bilik darjah. 


Quizizz boleh dibuat secara langsung ataupun sebagai kerja rumah


Langkah-langkah Menggunakan Quizizz

  • Pergi ke laman www.quizizz.com/login. Klik pada sign up dan daftarkan diri. Jika anda ada akaun gmail, anda juga boleh sign up  menggunakan akaun gmail.




  • Seterusnya, klik pada create your own Quiz.




  • Seterusnya, masukkan gambar ikon kuiz yang dikehendaki, namakan kuiz tersebut serta setkan subjek. Setkan kepada public supaya lebih ramai orang boleh cuba menjawab soalan kuiz yang telah disediakan.
  • Setelah selesai menyediakan soalan, masukkan grade range, subjek dan topik.
  • Akhir sekali klik butang Finish and Create Quiz. 
  • Selepas guru membuat kuiz yang bersesuaian untuk pelajar, kod  akses akan diberikan untuk kelas maya kuiz tersebut. Pelajar akan  log masuk menggunakan kod akses yang diberikan dan mereka  perlu menulis nama masing-masing. Apabila semua pelajar sudah bersedia, maka permainan Quizizz boleh dimulakan. Guru akan mengawal kuiz seperti tetapan masa dan sebagainya melalui leaderboard.

Kod akses untuk pelajar log masuk

Permainan Quizizz dalam PdPc


Saya menggunakan aplikasi Quizizz untuk mengulang kaji soalan pemahaman teks. Sebagai contoh, dalam video di atas, saya telah menggunakan Quizizz untuk membuat ulang kaji pemahaman teks 
(UEC) yang bertajuk Kemerdekaan. Objektif pengajaran adalah pelajar dapat memahami teks tersebut serta mengetahui maksud kosa kata beberapa perkataan tertentu. Masa pengajaran yang diambil ialah selama 40 minit. Bilangan pelajar dalam kelas tersebut adalah sebanyak 49 orang. Aktiviti yang dijalankan ialah guru menayangkan kembali slaid powerpoint (Prezi) Kemerdekaan yang telah dipelajari oleh pelajar supaya mereka dapat mengingat kembali apa yang telah dipelajari. Selepas itu, barulah pelajar menjawab soalan menggunakan aplikasi Quizizz



Prezi

Pada awal pengajaran, saya telah menggunakan Prezi untuk membuat ulang kaji pemahaman teks. Prezi merupakan salah satu perisian yang menyamai slaid powerpoint tetapi Prezi lebih menarik berbanding slaid powerpoint biasa. Hal ini demikian kerana Prezi mempunyai pelbagai latar belakang slaid yang sangat menarik dan lebih realistik. Selain itu, gerakan dari slaid ke slaid juga sangat menarik. Pada permulaan slaid, saya telah memasukkan video mengenai kemerdekaan negara. Tayangan video ini digunakan sebagai set induksi. 



Tayangan video 'Kemerdekaan Negara'




Selepas itu, saya telah memasukkan isi-isi penting teks serta gambar- gambar yang menarik yang berkaitan dengan tajuk.  Dari pemerhatian saya, pelajar sangat berminat mengikuti pelajaran kerana terdapat tayangan video dan gambar-gambar tertentu yang memudahkan pelajar untuk memahami pengajaran. Oleh sebab Prezi berbeza dengan slaid powerpoint, pelajar tidak berasa bosan dan memberikan tumpuan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan.










Contoh slaid Prezi



Semasa mengajar, saya juga ada bertanyakan beberapa soalan kepada pelajar mengenai topik yang diajar untuk menguji pemahaman pelajar. Saya menggunakan teknik ini dalam pengajaran agar dapat melahirkan interaksi antara saya dan pelajar secara berkesan dan dapat memupuk perasaan percaya diri dalam kalangan pelajar. Dari teknik soal jawab yang dijalankan saya dapati pelajar saya memahami pengajaran dengan baik serta mampu menguasai beberapa kosa kata tertentu. 




Guru memberi penerangan kepada pelajar


Pelajar mencuba menjawab soalan





Untuk menguji kefahaman pelajar pula, saya menggunakan quick quiz iaitu quizizz. Saya telah memasukkan 20 soalan berkaitan topik yang diajar. Selepas pelajar dapat log masuk (joinmyquizizz.com) menggunakan telefon pintar mereka, saya telah memulakan permainan ini dengan tetapan masa selama 60 saat bagi setiap soalan. Pelajar perlu menjawab soalan dalam jangka masa yang telah ditentukan. Pelajar juga dibenarkan untuk merujuk buku supaya permainan ini menjadi lebih santai dan tidak memberi tekanan kepada pelajar. 







                                        Contoh soalan yang diuji


Selepas pelajar dapat log masuk menggunakan kod akses, terdapat paparan nama pelajar di skrin utama di hadapan kelas.




Selepas saya memulakan permainan, pelajar perlu menggunakan telefon pintar mereka untuk menjawab soalan kerana untuk permainan Quizizz paparan soalan hanya boleh dilihat di telefon pintar pelajar sahaja. 






Semasa pelajar bermain permainan ini, di skrin utama di hadapan kelas terdapat paparan nama pelajar yang dapat menjawab soalan paling cepat dan betul. Pelajar yang paling pantas menjawab akan berada di kedudukan yang pertama. 




Selepas permainan tamat, saya juga telah memberikan kerja rumah yang perlu dilakukan oleh pelajar semasa cuti sekolah dan menentukan masa bila kerja rumah itu perlu disiapkan. Hal ini memudahkan saya untuk memantau pelajar yang masih belum menyiapkan kerja rumah dan pelajar yang sudah siap.  Saya juga tidak perlu risau untuk menyemak jawapan pelajar kerana Quizizz telah melakukannya untuk saya. Kesimpulannya, saya dapati pelajar saya sangat seronok dan aktif semasa permainan quizizz ini berlangsung.



Kelebihan


  • Aplikasi Quizizz ialah pembelajaran bersifat interaktif dan menarik dengan adanya avatar, leaderboard, tema muzik dan sebagainya. Selain itu, pelajar juga perlu menggunakan telefon pintar masing-masing untuk menjawab soalan dan tidak perlu menggunakan pen dan kertas. Hal ini dapat menarik minat pelajar dan melalui pemerhatian saya, mereka berasa sangat seronok.


Meme yang menarik


Leaderboard

  • Selain itu, kuiz yang dijalankan juga tidak mengambil masa yang lama. Pelajar tidak perlu menunggu untuk semua pelajar lain selesai menjawab soalan barulah pelajar itu dapat menjawab soalan yang berikutnya. Hal ini dapat menguji kepantasan pelajar berfikir semasa menjawab soalan. 
  • Penggunaan Quizizz juga membolehkan guru untuk menyediakan data dan laporan tahap penguasaan pelajar dengan terperinci. Quizizz juga boleh dimainkan dengan menggunakan komputer, tablet ataupun telefon pintar. Soalan dan jawapan akan keluar di skrin telefon pintar pelajar. Pelajar perlu memilih jawapan yang betul. Pelajar juga dapat melihat kedudukan mereka di leaderboard telefon pintar mereka ataupun di skrin telefon pintar masing-masing.


Pelajar menggunakan telefon pintar

Contoh soalan dan jawapan di skrin pelajar







Kedudukan pelajar di Leaderboard


  • Kelebihan lain permainan Quizizz ialah permainan ini sangat mudah dimainkan dan menyeronokkan. Pelajar tidak perlu mendaftar akaun untuk menjawab soalan. Kuiz yang dibuat juga boleh disediakan sendiri oleh guru dan boleh juga berkongsi soalan dengan orang lain. 
  • Permainan Quizizz juga dapat menggalakkan pelajar untuk bersaing secara adil. Permainan ini juga melatih pelajar untuk bekerjasama semasa menjawab soalan. Selepas pelajar menjawab soalan, guru juga boleh membuat perbincangan dengan pelajar. Guru boleh mengenal pasti soalan yang sukar dijawab oleh pelajar dan dapat memberikan fokus terhadap soalan tersebut.
  • Di samping itu, pelajar juga dapat bermain aplikasi Quizizz di mana-mana sahaja secara serentak asalkan ada nombor kod. Hal ini memudahkan guru untuk membuat kuiz kepada pelajar yang ramai. Secara keseluruhannya, pelajar berasa sangat seronok kerana dapat menjawab soalan dalam keadaan yang santai di samping dapat berbincang dengan rakan-rakan.




  • Quizizz juga menggunakan nombor kod dan boleh disetkan sebagai kerja rumah. Jadi, guru boleh menentukan masa kerja rumah tersebut perlu diselesaikan. 







  • Kelebihan Quizizz juga ialah saya boleh melihat laporan pelajar secara individu dengan terperinci. Saya boleh melihat markah yang diperoleh oleh pelajar, berapa jumlah soalan yang dijawab dengan betul atau salah, berapa minit pelajar menjawab setiap soalan danjumlah markah yang diperoleh. Hal ini memudahkan saya untuk menilai soalan yang mana yang sukar dijawab oleh pelajar. Jadi saya boleh memberikan tumpuan kepada soalan tersebut supaya pelajar akan lebih memahami pengajaran. 

                                              Contoh Laporan Pelajar 

  • Seterusnya, saya juga dapat terus berbincang soalan yang dibuat bersama pelajar dalam kelas. Hal ini dapat meningkatkan pemahaman pelajar di samping dapat menjimatkan masa. Jika ada soalan yang kurang difahami oleh pelajar, saya dapat memberi penerangan dengan jelas kerana terdapat gambar yang boleh membantu menjelaskan sesuatu perkara dengan lebih teliti  kepada pelajar



                             Guru memberi penerangan kepada pelajar


Kelemahan

Kelemahan yang saya dapati semasa menggunakan aplikasi Quizizz sama sahaja dengan kelemahan semasa pelajar menggunakan aplikasi Kahoot. Pelajar harus menggunakan telefon pintar dan data sendiri. Terdapat beberapa orang pelajar yang tidak mempunyai telefon pintar.  Jadi semasa aktiviti ini dijalankan, pelajar terbabit tidak dapat melibatkan diri.  

Kelemahan lain ialah permainan Quizizz tidak menggunakan skrin besar di hadapan kelas. Hal ini menyukarkan guru untuk memantau aktiviti pelajar.   Selain itu, terdapat juga pelajar yang tidak dapat log masuk ke aplikasi Quizizz. Hal ini agak mengambil masa untuk guru memulakan permainan Quizizz. 


Penambahbaikan

Perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi kelemahan ini ialah permainan Quizizz ini perlu dibuat di makmal komputer. Jadi, semua pelajar dapat melibatkan diri dengan permainan ini. Tidak ada lagi masalah pelajar yang tidak dapat log masuk atau tidak mempunyai telefon bimbit. Jadi semua pelajar dapat melibatkan diri dan mampu bersaing secara adil dan tidak perlu berkongsi telefon lagi. Selain itu, permainan Quizizz akan lebih menarik jika permainan ini dapat dipaparkan di skrin besar di hadapan kelas supaya guru dapat memantau aktiviti pelajar. 



                            Pelajar menggunakan aplikasi Quizizz di makmal komputer

Kesimpulannya, penggunaan Quizizz sangat membantu saya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Saya dapat melihat keseronokan pelajar semasa bermain permainan ini. Pelajar juga menunjukkan peningkatan dari segi pemahaman terhadap topik yang diajar. Pelajar juga memberikan kerjasama dan bersungguh- sungguh semasa menjawab soalan.



 

Technology In Education~Cikgu Rozita Template by Ipietoon Cute Blog Design