Friday, August 2, 2019

Kahoot- Penjodoh Bilangan



Pengenalan


Kahoot merupakan satu aplikasi permainan yang menyeronokkan bagi pelajar. Kaedah yang digunakan ialah belajar sambil bermain. Pelajar akan menjawab beberapa soalan yang disediakan oleh guru menggunakan telefon pintar masing- masing. Guru boleh memasukkan video, gambar dan rajah dalam permainan ini. Hal ini dapat menarik minat pelajar dan penglibatan murid dalam aktiviti ini. Soalan yang ditanya akan dipaparkan di skrin utama. Kahoot menjadikan kelas menarik apabila pelajar menjawab kuiz secara online dan paparan markah terus terpapar di skrin dihadapan kelas. Pelajar juga dapat melihat kepantasan mereka dalam menjawab soalan melalui kedudukan dan masa yang ditetapkan pada skrin utama di hadapan kelas. Hal ini mewujudkan suasana persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Kahoot juga mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mendisiplinkan murid dari segi memperuntukkan masa menjawab sesuatu soalan. Penggunaan Kahoot dalam PdPc juga turut menerapkan unsur didik hibur dan dilihat sangat sesuai dilaksanakan dalam pembelajaran abad ke-21. Permainan Kahoot ini menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak membosankan.



Contoh soalan yang memaparkan gambar untuk menarik minat pelajar


Langkah-langkah Menggunakan Kahoot


  • Anda perlu ke https://kahoot.com/ untuk membina akaun terlebih dahulu. Klik ‘Sign Up’ untuk pertama kali mendaftar. 


  • Selepas itu, anda boleh mula membuat set soalan yang dikehendaki. Ketika hendak buat soalan, anda boleh menggunakan segala tools yang ada di ruangan tersebut untuk menjadikan soalan lebih kreatif dan menarik untuk dijawab. Contohnya, anda boleh masukkan teks, gambar, atau video yang berkaitan.

  • Selepas selesai mengisi maklumat asas untuk kuiz tersebut, anda boleh menambah soalan dengan klik ‘Add Question’.
  • Anda perlu isikan soalan, masa menjawab dan pilihan jawapan. Untuk menentukan jawapan yang betul, anda perlu tanda (tick) sahaja sehingga keluar warna hijau di kanan jawapan.
  • Bila semua soalan sudah siap dibina, terus simpan (save) dan data akan disimpan dalam akaun yang anda sudah daftarkan tadi. Anda boleh ulang semula untuk membuat soalan lain sebanyak mana yang anda mahu.
  • Pada hari yang anda mahu gunakan Kahoot! ini, anda boleh meminta individu yang hendak menjawab contohnya pelajar tersebut log masuk Kahoot!
  • Sebelum memulakan kuiz, anda perlu memberi Game PIN kepada individu (pelajar) yang ingin menjawab soalan tersebut.


  • Kemudian, pelajar boleh memasukkan nama sendiri kerana pada akhir kuiz nanti, markah akan dipaparkan mengikut nama-nama yang telah dimasukkan tadi. Sementara menunggu untuk habis, nama dan bilangan individu yang sudah menyertai kuiz tersebut akan terpampang di skrin utama.



Penggunaan Kahoot dalam PdPc

Saya menggunakan aplikasi Kahoot semasa membuat ulang kaji dalam kelas. Sebagai contoh, dalam video di atas, saya telah menggunakan Kahoot untuk membuat ulang kaji aspek tatabahasa iaitu penjodoh bilangan. Objektif pengajaran adalah pelajar dapat mengetahui jenis-jenis penjodoh bilangan dan dapat menggunakan penjodoh bilangan tersebut dalam situasi yang sesuai. Masa pengajaran yang diambil ialah selama 40 minit. Bilangan pelajar dalam kelas tersebut ialah seramai 49 orang. 

Aktiviti yang dijalankan ialah guru menayangkan kembali slaid powerpoint penjodoh bilangan yang telah dipelajari oleh pelajar supaya mereka dapat mengingat kembali apa yang telah dipelajari. Selepas itu, barulah pelajar menjawab soalan penjodoh bilangan menggunakan aplikasi Kahoot. Di akhir pengajaran, saya dapati pelajar mampu menjawab soalan dengan baik dan dapat menyatakan jenis penjodoh bilangan serta memberikan contoh yang sesuai. 








Pada awal pengajaran, saya telah menggunakan slaid powerpoint untuk membuat ulang kaji jenis-jenis penjodoh bilangan. Saya telah memasukkan gambar- gambar yang menarik yang berkaitan dengan tajuk. Saya juga telah memasukkan bunyi-bunyi tertentu untuk menarik minat pelajar. Namun, dari pemerhatian saya, pelajar kurang berminat untuk memberikan tumpuan. Hal ini demikian kerana, penggunaan slaid powerpoint adalah perkara biasa di sekolah saya. Jadi, pelajar tidak lagi tertarik untuk memberikan tumpuan. Hanya terdapat beberapa orang pelajar yang memberikan tumpuan sepenuhnya. 




Contoh slaid powerpoint penjodoh bilangan



Pelajar mencuba menjawab soalan


Boringnya!

Namun, selepas saya menggunakan Kahoot untuk mereka membuat ulang kaji mengenai topik yang diajar, pelajar nampaknya semakin berminat dan mula memberikan perhatian. Hal ini demikian kerana ulang kaji dijalankan dalam bentuk permainan, terdapat muzik dan menggunakan telefon pintar mereka. Mereka berasa seronok kerana tidak perlu terikat dengan slaid powerpoint yang membosankan dan juga buku teks. Gambar menarik yang ditayangkan berserta soalan kuiz sangat mengujakan mereka. Mereka berasa seronok kerana boleh menjawab soalan dengan hanya menekan warna-warna yang terpapar di skrin telefon mereka. 

Saya juga dapat memberhentikan sekejap tayangan soalan untuk memberi penjelasan kepada pelajar jika ada perkara yang tidak difahami oleh pelajar. Hal ini dapat meningkatkan pemahaman pelajar mengenai topik yang diajar. 

Selain itu, penayangan markah pelajar yang paling tinggi juga dapat memberikan semangat kepada pelajar untuk bersaing secara sihat untuk menjawab soalan. Guru juga boleh memilih untuk menggunakan kuiz yang telah dibina dan dikongsi oleh komuniti. Hal ini dapat memudahkan dan menjimatkan masa guru untuk membina soalan. 

Secara keseluruhannya, pelajar berasa sangat seronok kerana dapat menjawab soalan dalam keadaan yang santai di samping dapat berbincang dengan rakan-rakan. Penggunaan Kahoot dalam pengajaran sangat membantu guru untuk menarik minat pelajar memberikan tumpuan dan juga dapat menjadikan sesuatu pengajaran lebih menyeronokkan.




Pelajar menggunakan telefon pintar untuk menjawab soalan
  


Permainan Kahoot



Guru memberikan penerangan kepada pelajar



Markah pelajar yang paling tinggi







!Seronok


Kelebihan


  • Sangat interaktif kerana Kahoot merupakan kuiz berbentuk permainan. Hal ini demikian kerana pelajar dikehendaki menjawab soalan sama ada menggunakan PC, laptop, tablet atau telefon pintar mereka. Jadi, mereka akan terlibat secara aktif dan menjadikan permainan ini lebih menarik.
  • Kahoot juga mempunyai sistem ranking. Setiap kali selepas soalan dijawab, nama 5 pelajar yang menjawab paling pantas dan tepat akan berada di ranking paling atas. Oleh itu, pelajar akan berlumba-lumba untuk menjawab soalan dan dapat bersaing secara sihat. 
  • Kahoot juga memberi kebebasan untuk guru menetapkan bilangan soalan, bilangan jawapan (2-4 pilihan), tempoh masa menjawab, bentuk soalan sama ada dalam bentuk teks, bergambar atau video. 
  • Set soalan juga boleh disimpan dalam akaun masing-masing. Selepas selesai membuat set soalan, guru hanya perlu menyimpan soalan di akaun masing-masing untuk kegunaan pada masa hadapan. 
  • Kahoot juga boleh digunakan di mana-mana sahaja asalkan ada capaian Internet.
  • Kahoot juga pelbagai guna (Multipurpose). Kahoot bukan sahaja digunakan semasa PdPc, malahan juga dapat dijadikan set induksi, kuiz, pengukuhan, ulang kaji, perbincangan soalan peperiksaan dan lain-lain mengikut kreativiti guru.
  • Kahoot juga dapat menarik minat pelajar kerana terdapat muzik sepanjang kuiz dijalankan. Jadi, pelajar tidak akan berasa bosan.
  • Pelajar juga berasa seronok kerana boleh menjawab soalan dengan hanya menekan warna-warna yang terpapar di skrin telefon mereka.
  • Guru juga dapat memberhentikan sekejap tayangan soalan untuk memberi penjelasan kepada pelajar jika ada perkara yang tidak difahami oleh pelajar.

Kelemahan


Kelemahan yang saya dapati semasa menggunakan aplikasi Kahoot di dalam kelas ialah pelajar harus menggunakan telefon pintar dan data sendiri. Terdapat beberapa orang pelajar yang tidak mempunyai telefon pintar. Hal ini demikian kerana ibu bapa tidak membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah. Jadi semasa aktiviti ini dijalankan, pelajar terbabit tidak dapat melibatkan diri. Saya dapati pelajar yang tidak mempunyai telefon ini terpaksa berkongsi dengan rakan dan ada juga yang membuat kerja sendiri. 

Kelemahan lain ialah permainan Kahoot perlu dimainkan serentak di tempat yang sama kerana pelajar berkongsi skrin di hadapan kelas. Oleh sebab itu, guru perlu menetapkan masa yang sesuai supaya semua pelajar dapat menyertai permainan ini. Selain itu, terdapat juga pelajar yang tidak dapat log masuk ke aplikasi Kahoot. Hal ini agak mengambil masa untuk guru memulakan permainan Kahoot. 

Selain itu, pelajar di sekolah ini juga perlu menyimpan telefon di dalam kotak telefon yang terdapat dalam setiap kelas. Mereka hanya boleh mengambil telefon bimbit 10 minit sebelum kelas terakhir tamat. Oleh sebab itu, jika guru ingin menggunakan aplikasi Kahoot di dalam kelas, guru perlu meminta kebenaran pihak sekolah supaya pelajar dapat menggunakan telefon bimbit mereka di dalam kelas. Jadi, perkara ini menyukarkan guru jika guru ingin menggunakan aplikasi Kahoot secara terus. 



Loading..




Pelajar yang tidak dapat menyertai permainan Kahoot

    
Penambahbaikan  
     
Penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk mengatasi kelemahan ini ialah permainan Kahoot ini perlu di buat di makmal komputer. Jadi, semua pelajar dapat melibatkan diri dalam permainan ini. Tidak ada lagi masalah pelajar yang tidak dapat log masuk atau tidak mempunyai telefon bimbit. Jadi, semua pelajar dapat melibatkan diri dan mampu bersaing secara adil dan tidak perlu berkongsi telefon lagi. 






Secara keseluruhannya, penggunaan Kahoot sangat membantu saya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar berasa sangat seronok kerana mereka boleh belajar sambil bermain. Pelajar juga menunjukkan peningkatan dari segi pemahaman terhadap topik yang diajar. Pelajar juga memberikan kerjasama yang baik.


Markah yang diperolehi oleh pelajar 



























































       
 

Technology In Education~Cikgu Rozita Template by Ipietoon Cute Blog Design